Introduksi

Saya seorang anak muda belia yang bercita-cita tinggi. Seorang blogger beginner, suka pura-pura berjogging, pemain ragbi separuh amatur, suka berbual tanpa henti, suka mempelajari human-behaviour, seorang yang sinis, suka bermonolog sendiri jika melihat sesuatu yang tidak disukainya, suka memasak, suka merasai makanan yang enak-enak dan yang penting sekali, pembenci tegar berita arus perdana media massa.

Sudah tentu saya tidak sempurna tetapi izinkan saya meluahkan dan berkongsi pendapat tentang apa jua isu asalkan berkenaan tentang anak muda. tujuannya hanyalah satu, inginkan revolusi. dari kurang baik ke lebih baik. dari kurang sempurna ke lebih sempurna.

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Wednesday, 4 May 2011

MENGAPA KITA MUDAH PERCAYA DENGAN BERITA ARUS PERDANA?



Pengaruh Media
Bermula dari tahun 1845, sejak penerbitan naskah akhbar pertama di Malaysia iaitu akhbar berbahasa inggeris The Straits Times (sekarang dikenali dengan New Straits Times), pengaruh media massa telah bergerak seiring dengan kemajuan teknologi yang kita ada. Mari menyusuri sejenak sejarah ringkas tentang penerbitan dan penubuhan media massa di Malaysia. Bermula dengan penerbitan akhbar The Straits Times di Pulau Pinang, akhbar Jawi Peranakan diterbitkan pada 1896 di Singapura, Majalah Al-Imam diterbitkan pada 1908 dan berakhir 2 tahun kemudian. Warta Malaya diterbitkan pada 1931 dan diharamkan 10 tahun kemudian. Utusan Melayu (sekarang dikenali sebagai Utusan Malaysia) pula menyusul pada 1939 yang diasaskan oleh Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan ketika itu dicetak dalam tulisan jawi lagi.  Kemudian Radio Malaya yang dimiliki dan dijalankan sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia (sekarang dikenali sebagai RTM) ditubuhkan pada 1946 di Singapura, Berita Harian (1957), The Star (1971), Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) atau TV3 ditubuhkan pada 1983 dan sehinggalah penubuhan ASTRO yang merupakan merupakan penyedia perkhidmatan televisyen bersatelit dan radio berbayar pertama di Malaysia pada 1996. Era 1990-an juga menyaksikan Malaysia berhadapan dengan isu globalisasi atau dunia tanpa sempadan apabila munculnya internet dengan kemudahan laman web, email, telefon internet, chatting, rangkaian sosial (Facebook, Friendster, dll) dan sekarang blog. Kafe siber tumbuh bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dan tahap kelajuan internet semakin baik melalui rangkaian broadband, Streamyx, kemudian, Unifi serta lain-lain lagi.

 Rata-ratanya rakyat di Malaysia sangat bergantung pada informasi dan komunikasi untuk terus bergerak melakukan aktiviti seharian seperti ke tempat kerja, hiburan, kesihatan, pendidikan, hubungan sosial,  keselamatan, pengangkutan dan apa sahaja aktiviti dalam kehidupan seharian kita termasuklah tidur. Dari kamar tidur, ke mangkuk tandas, dari mangkuk tandas ke kereta, dari kereta ke meja pejabat, dari meja pejabat ke meja makan, dari meja makan sehingalah ke televisyen, kesemuanya bergantung dengan media massa. Kebiasaannya, kita akan memulakan kehidupan seharian kita dengan menyelak akhbar Utusan Malaysia atau memicit punat di remote TV untuk menonton rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 sambil menjamu nasi lemak yang enak dan teh tarik. Kemudian bergegas ke tempat kerja, membuat beberapa panggilan telefon, makan bersama rakan-rakan atau keluarga dan membuat keputusan berdasarkan informasi serta maklumat yang ada bersumberkan dari rakan sekerja, berita, TV, keluarga, laporan kewangan, dan sebagainya.

Kita perlu sedar bahawa sebahagian besar keputusan, pegangan, kepercayaan dan nilai-nilai yang ada dalam diri kita adalah berdasarkan pengetahuan, andaian dan pengalaman kita. Dalam bidang pekerjaan umpamanya, rutin pekerjaan yang perlu kita lakukan adalah dari proses pengalaman dan pembelajaran kita semasa kita bekerja. Akan tetapi, dalam kehidupan kita seharian, kita sangat bergantung pada media untuk mendapatkan berita, maklumat dan fakta terkini. Misalnya, apabila anda sedang memandu ke tempat kerja anda di pagi hari, anda akan memerlukan info traffik di stesen radio untuk membantu anda mengelak dari kesesakan lalu lintas. Dari info waktu solat sehinggalah berita tentang selebriti Tiz Zakiah, semuanya ada di media massa anda.

Secara sedar atau tidak, anda sebenarnya telah meletakkan sepenuh kepercayaan anda ke atas media sebagai pihak yang paling berkuasa untuk memberikan anda berita, hiburan dan pendidikan. Minda separa sedar anda akan selalu mengiyakan dan terus mempercayai apa sahaja maklumat yang disampaikan di media tanpa mempersoalkan kesahihannya. Pengaruh dan kesan media massa ini pada anak-anak kita, remaja dan masyarakat adalah sangat besar dan kita seharusnya tahu bagaimana ini berlaku.

Bagaimana media mempengaruhi anda?
Dalam kesemua jenis dan rangkaian media massa ini, setiap hari,setiap detik dan waktu kita didedahkan dengan ribuan imej berbentuk keganasan, seks, selebriti-selebriti, pengiklanan dan banyak lagi. Malah, tahukah anda anak kita terdedah kepada hamper 50,000 iklan komersial setiap tahun. Akan tetapi, pernahkah anda tertanya-tanya siapakah yang memiliki media massa yang membentuk keputusan, kepercayaan, dan nilai-nilai yang ada pada diri kita sekarang? Secara teknikalnya, media arus perdana Malaysia didominasi oleh 3 entiti berikut;
1.    Media Prima Berhad, 54% (TV3,NTV7,8TV,New Straits Times,Berita Harian,Harian Metro, Fly FM,Hot FM)
2.    Astro Malaysia Holdings Sdn Bhd, 29%
3.    Kerajaan Malaysia melalui RTM, 17% (Radio-radio Malaysia,TV1,TV2)
....................(bersambung ke entri akan datang)

1 comment:

  1. Pembetulan ejaan! Penulis tertinggal huruf 'T' pada nama Tiz Zaqyah. Sekian.

    ReplyDelete